2 buku baharu terbitan Jabatan Mufti Kerajaan dilancarkan





Oleh : Hajah Siti Zuraihah Haji Awang Sulaiman / Foto : Mohd. Sahrizal Haji Said





BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 14 April. – Jabatan Mufti Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri (JPM) hari ini melancarkan dua buah buku baharu bertajuk 'Ayat-Ayat Al-Qur'an Selaku Ruqyah (Jampi) dan Do'a Penyembuh (Buku 2)' dan 'Perang Kastila dan Ugama: Satu Analisa'.


Buku 'Ayat-Ayat Al-Qur'an Selaku Ruqyah (Jampi) dan Do'a Penyembuh (Buku 2)' antara lain merangkumi ayat Al-Quran sebagai ruqyah (jampi) bagi mengubat atau merawat sesuatu penyakit. Di samping itu, buku ini juga mengetengahkan kelebihan Air Zam-Zam sebagai penawar dan penyembuh penyakit.


Manakala Buku 'Perang Kastila dan Ugama : Satu Analisa' merupakan sebuah karya berteraskan sejarah dan pemikiran penulisnya yang bukan sekadar menjejaki sejarah peperangan (Perang Kastila) tetapi cuba mengangkat peristiwa itu sebagai medan pertembungan tamadun, kuasa asing yang kuat dengan kekuatan pegangan dan akidah agama seorang raja dengan jati diri seluruh rakyatnya.


Analisa yang disampaikan dalam buku ini memberi gambaran jelas bagaimana agama itu (Islam) bukan sahaja berperanan sebagai pegangan rohani tetapi juga sebagai sumber kekuatan dalam mempertahankan nilai, jati diri dan identiti bangsa.


Majlis pelancarannya disempurnakan oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Awang Haji Othman berlangsung di Auditorium Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah, di sini.


Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama dalam ucapannya berkata, 'Ayat-Ayat Al-Quran Selaku Ruqyah (Jampi) dan Do'a Penyembuh (Buku 2)' sangat penting sebagai panduan kepada individu atau pasukan yang dikenal pasti untuk bertugas sebagai penyembuh dari segi kerohanian itu.


Mengupas mengenai Buku 'Perang Kastila dan Ugama: Satu Analisa' pula, Yang Berhormat menjelaskan, peristiwa sejarah Perang Kastila dijadikan simbol penting dalam membina semangat cinta negara. Walaupun Brunei mengalami kekalahan secara fizikal, peristiwa ini tetap dianggap memberi inspirasi patriotisme yang berterusan.


Menurut Yang Berhormat, penentangan terhadap penjajahan Sepanyol bukan sekadar politik, tetapi berasaskan agama yang mana Brunei ketika itu sudah pun berpegang kepada sistem Melayu Islam Beraja (MIB), maka cubaan menyebarkan agama Kristian dianggap tidak wajar. Oleh itu, perjuangan berlaku untuk mempertahankan akidah dan keimanan kepada Allah Subhanahu Wata'ala.


Yang Berhormat menambah, walaupun kalah dari segi ketenteraan, Brunei dianggap 'menang' kerana mendapat pertolongan Allah Subhanahu Wata'ala, selain dipimpin oleh Raja yang beriman serta memiliki semangat patriotisme yang tinggi.


Majlis turut mendengarkan sesi bedah buku yang disampaikan oleh Timbalan Dekan, Fakulti Undang-Undang Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Universiti Islam Sultan Sharif Ali, Dr. Dayang Hajah Hanan binti Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Awang Haji Abdul Aziz.


Turut hadir pada majlis tersebut ialah Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof; Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Awang Haji Abdul Aziz bin Juned; Peguam Negara, Yang Berhormat Datin Seri Paduka Dayang Hajah Nor Hashimah binti Haji Mohammed Taib; Ahli Majlis Mesyuarat Diraja, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Maharaja Diraja Dato Seri Paduka Awang Haji Abdul Wahab bin Haji Md, Said serta Timbalan-timbalan Menteri, Setiausaha-setiausaha Tetap, Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap, pengarah-pengarah, pegawai-pegawai kanan serta pegawai dan kakitangan Jabatan Mufti Kerajaan.


Terdahulu dalam ucapan alu-aluan Pemangku Pengarah Pentadbiran Jabatan Mufti Kerajaan, Awang Haji Saiful Nizam bin Haji Sulaiman, selaku Pengerusi Jawatankuasa Majlis, menyatakan bahawa kedua-dua buku ini saling melengkapi dalam membina masyarakat yang bertakwa, berdaulat serta sihat mental dan rohani.


“Adalah menjadi harapan, kehadiran dua buah buku ini akan memperkayakan lagi khazanah sumber rujukan kita. Pada kesempatan ini, peramba/kaola/saya ucapkan tahniah kepada kedua penulis dan seluruh warga kerja yang telah pun menyumbang kepada penerbitan kedua buku ini serta dedikasi dalam mendokumentasikan ilmu yang sangat berharga ini dan semoga usaha ini menjadi amal jariah yang berpanjangan dan diredai Allah jua.


“Semoga buku-buku terbitan ini menjadi rujukan kepada masyarakat agar mereka ingat kepada sejarah dan tidak hanyut di era moden tanpa pegangan yang kukuh," ujarnya.

Acara juga menyaksikan penyampaian wakaf buku oleh Yang Berhormat Mufti Kerajaan.


Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Selamat dipimpin oleh Pemangku Ketua Istinbat, Jabatan Mufti Kerajaan, Awang Haji Mohammad Ahmad Roza bin Haji Daud sebelum menikmati jamuan.


Orang ramai yang berminat untuk memperoleh buku-buku terbaharu terbitan Jabatan Mufti Kerajaan ini bolehlah mendapatkannya di Kedai Buku Jabatan Mufti Kerajaan yang dijual dengan harga BND6 (Hard Cover) dan BND4 (Soft Cover) bagi Buku 'Ayat-Ayat Al-Qur'an Selaku Ruqyah (Jampi) dan Do'a Penyembuh (Buku 2)' manakala Buku 'Perang Kastila dan Ugama : Satu Analisa' dijual dengan harga BND7 (Hard Cover) dan BND6 (Soft Cover).


Close